校史
 
 
Sejarah Sekolah
 
PENGENALAN
            Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min merupakan sebuah sekolah Cina di Bandar Sungai Petani yang tunggal (sekolah conforming) dan terkenal dengan prestasi akademik dan kokurikulum murid yang cemerlang. Muridnya pula bersopan santun dan berakhlak mulia.
             Lokasinya amat strategik kerana ia terletak berdekatan dengan pusat bandar, iaitu bandar Sungai Petani tetapi jauh dari kawasan perindustrian kilang yang sekian hari mengalami masalah pencemaran udara dan bunyi. Jadi, dengan persekitarannya yang dihiasi dengan beraneka jenis pokok bunga, udara nyaman dan sunyi, ia menyediakan suasana yang tenang kepada para murid untuk menimba ilmu.

 SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
            Sebelum Sin Min ditubuhkan, penduduk keturunan Cina tempatan atau sekitar Daerah Kuala Muda/Yan menghadapi masalah serius, iaitu tidak ada sekolah menengah untuk membolehkan anak-anak mereka selepas tamat darjah enam, melanjutkan pelajaran. Bagi mengatasi masalah ini, Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Sin Min mengadakan mesyuarat dan berbincang untuk mendirikan sebuah sekolah menengah. Pada 3hb Jun 1951, sebuah Jawatankuasa Pembinaan Bangunan ditubuhkan dan penasihat, Encik Lim Lean Teng, telah menderma sebanyak RM20,000. Encik Tan Peng Hooi pula mendermakan sebidang tanah seluas enam relung lebih untuk dijadikan tapak pembinaan. Hasil daripada derma orang ramai termasuklah dari Sungai Petani dan Pulau Pinang, kutipan meningkat ke RM160,000. Akhirnya, bangunan Sekolah Menengah Sin Min siap dibina pada tahun 1956 dan digunakan pada tahun 1957. Pada tahun 1959, kumpulan murid pertama yang menamatkan persekolahan di Tingkatan 3 telah dilahirkan. Oleh sebab bilangan murid kian bertambah, sekolah mula membina bilik makmal dan perpustakaan pada tahun 1960 untuk kemudahan para murid. Bangunan ini terletak bersebelahan dengan kantin lama. Perpustakaan yang asalnya terletak di tingkat atas bangunan ini telah dijadikan makmal sains pada tahun 1981, manakala perpustakaan telah dipindahkan ke tingkat satu di atas bilik guru.

 SEKOLAH BANTUAN MODAL
            Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min telah menerima bantuan kerajaan hasil daripada permohonan yang dibuat pada 3hb. Mei 1965 oleh Lembaga Pengelola Sekolah dan diluluskan pada tahun yang sama. Dengan itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min diterima sebagai sekolah bantuan modal. Pada tahun 1966, Lembaga Pengelola Sekolah membahagikan sekolah kepada dua jenis, iaitu Sekolah Menengah Sin Min Bantuan Kerajaan yang berlokasi di Jalan Pegawai dan Sekolah Menengah Sin Min Persendirian yang terus menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya dalam kurikulum sekolah. Lokasi Sekolah Menengah Sin Min Persendirian ialah di Jalan Pengkalan, Sungai Petani sehingga tahun 1992 dan kemudiannya berpindah ke Taman Keladi, Sungai Petani. Di sana ia mempunyai pejabat serta bangunan sekolah sendiri.

 HARTA MODAL SEKOLAH
            Pada mulanya, sekolah ini hanya memiliki 20 buah bilik darjah, dua buah bilik darjah telah diubahsuai menjadi bilik seni lukis dan pejabat pentadbiran.
             Selain daripada empat blok bilik darjah yang asal, terdapat juga sebuah kantin dan sebuah bilik guru.
             Pada mulanya, sekolah ini tidak mempunyai kemudahan asas seperti bilik air, jadi murid terpaksa berkongsi bilik air dengan murid-murid sekolah rendah. Keadaan ini berlanjutan sehingga tahun 1994.
             Selama ini, kemudahan bilik air untuk murid tidak memuaskan. Murid terpaksa berkongsi kemudahan ini dengan murid-murid sekolah rendah. Maka, Lembaga Pengelola bersetuju untuk membina bilik-bilik air yang mencukupi di tapak belakang blok E. Pada masa yang sama, Lembaga Pengelola juga memperbesar kantin dan menyediakan gerai makanan orang muslim.

 KELAS ALIRAN SAINS
            Demi membolehkan murid-murid lepasan tingkatan 3 meneruskan pendidikan mereka di sekolah ini dan menambahkan bilangan murid dalam aliran sains, ahli-ahli Lembaga pada masa itu bertungkus-lumus mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membuka kelas aliran sains. Akhirnya hajat itu tercapai pada tahun 1980. Pada tahun 1981, dua kelas sains Tingkatan 4 dibuka. Segala perbelanjaan untuk pembinaan makmal sains dan membeli peralatan serta kemudahan bangku dan meja yang berjumlah RM60,000 adalah atas tanggungan sendiri.
             Pada hujung tahun 1981, pihak sekolah terpaksa mengubahsuai perpustakaan lama menjadi 2 buah makmal sains kerana keadaan terdesak. Pada 3 September 1981, Lembaga Pengelola dan PIBG sekolah telah mengadakan mesyuarat untuk mengutip derma dengan menganjurkan Malam Kebudayaan pada 29 Oktober tahun tersebut. Penganjuran Malam Kebudayaan telah berjaya mengutip RM50,000. Pada tahun 1982, kumpulan murid sains yang pertama berjayadilahirkan dan dalam peperiksaan SPM yang diumumkan pada tahun tersebut, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min berjaya mencapai 80% kelulusan.

 BLOK E (1985)
            Akibat pertambahan murid yang pesat, Lembaga Pengelola Sekolah telah mengadakan satu perjumpaan pada 29 Oktober 1984 untuk membina sebuah bangunan tiga tingkat. Selepas bertungkus-lumus mengutip derma, wang sejumlah RM400 ribu berjaya diperoleh dan digunakan untuk pembinaan blok tiga tingkat (Blok E). Kerja pembinaan bermula pada 21 April dan siap pada akhir tahun 1985. Bangunan tersebut yang dirasmikan pada 9 November 1986 mula digunakan pada 5 Januari 1986.
             Kemudahan yang terdapat pada bangunan itu ialah sebuah makmal kimia, sebuah makmal fizik, tiga buah bilik air dan sebuah bilik komputer yang berhawa dingin dan dilengkapi dengan 22 buah komputer jenis IBM dan dua buah mesin cetak.
             Sejak pembinaan bangunan baru, sekolah ini buat pertama kalinya menerima kemasukan semua murid dari Sekolah Rendah Sin Min  A dan B.

 BLOK A (1992)
            Sejak pelaksanaan sukatan pelajaran yang menekankan penggabungjalinan (KBSM) dan oleh sebab bilangan murid yang semakin bertambah, sekolah ini terpaksa manambahkan bangunan baru dan beberapa kemudahan seperti bilik darjah, bengkel Kemahiran Hidup Bersepadu, makmal dan lain-lain. Maka projek pembangunan sekolah peringkat kedua telah dimulakan dan satu jawatankuasa pembangunan sekolah ditubuhkan. Pada 1 Januari 1991, sekolah ini menganjurkan satu walkathon yang bertujuan untuk mengutip derma bagi tujuan tersebut. Dengan usaha gigih yang dicurahkan oleh Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan semua guru serta murid, sekolah berjaya mengutip RM100,000. Bagi mengatasi masalah kegiatan yang giat bertambah, satu blok yang mengandungi enam buah kelas sementara dibina di padang sekolah. Pada 9 Januari 1992, jawatankuasa pembangunan sekolah sekali lagi merancang untuk mengadakan konsert bagi mengutip derma. Konsert yang dijayakan oleh penyanyi terkenal tempatan telah diadakan. Semua perbelanjaan untuk malam tersebut ditaja sepenuhnya oleh Pasar Raya Warta.
             Pada 29 November 1992, En. Yap Kew Chin, BKM. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sekolah, telah melaksanakan upacara memecah tanah bagi tujuan pembinaan bangunan blok A. Bangunan yang menelan perbelanjaan lebih kurang RM300,000 ini telah berjaya didirikan pada 27 Mei 1993 dan mula digunakan pada 20 Jun tahun yang sama. Bangunan tiga tingkat ini mengandungi 10 buah bilik darjah dan menempatkan pejabat sekolah, bilik Bahasa, bilik Matematik, bilik Mesyuarat dan bilik Teknologi Pendidikan.

 BLOK B (1995)
            Sejak kebelakangan ini, Sungai Petani telah mengalami pembangunan yang cukup pesat. Kepesatan ini juga mendorong kepada pertambahan murid. Sekolah ini sekali lagi menghadapi masalah kekurangan bilik darjah. Oleh itu, pada 2 Mei 1995, dalam mesyuarat Lembaga Pengelola Sekolah, satu jawatankuasa pembangunan sekolah telah ditubuhkan. Kali ini, bangunan blok B akan dirobohkan dan satu bangunan baru tiga tingkat akan didirikan.
             Maka, pada 30 Julai 1995, sekolah ini telah mengadakan Malam Amal di Dewan Beng Siew. Perbelanjaan untuk malam tersebut dibiayai dan ditaja sepenuhnya oleh Tiger Beer Sdn. Bhd. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 5 Disember 1995 dan bangunan yang siap dibina mula digunakan pada l6 Jun 1996. Bangunan yang menelan perbelanjaan lebih RM400,000 ini mengandungi 10 buah bilik darjah dan menempatkan sebuah bilik pendidikan seni, sebuah bilik Guru Kanan Mata pelajaran dan 2 buah makmal Fizik.

 BILIK KHAS
            Demi saling melengkapkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, jawatankuasa pembangunan sekolah telah membina 3 buah bilik kokurikulum, sebuah surau dan sebuah bilik rehat berdekatan hujung blok B. Pintu besar sekolah dan pagar yang berdekatan dengan kantin sekolah juga dibaik pulih.
             Pada masa kini, kemudahan-kemudahan banyak disediakan untuk warga Sin Min seperti bilik sukan, bengkel-bengkel kemahiran hidup bersepadu-kerja kayu, logam, besi dan paip, enjin, bilik skim pinjaman buku teks, padang, tempat letak basikal, bilik guru, perpustakaan, pejabat pengetua, unit teknologi pendidikan, bilik gerakan/mesyuarat, pentas, gelanggang bola tampar dan bola keranjang, tempat perhimpunan, bilik jahitan, bilik pengurusan tempat kediaman, bilik masakan, bilik air, makmal fizik, kimia dan biologi, kedai buku, bilik cetakan, stesen kaji cuaca, pondok jaga, kantin, bilik-bilik darjah, bilik persatuan, bilik Kemanusiaan, bilik Matematik, bilik Bahasa, surau dan sebagainya.

 PROJEK PENGINDAHAN SEKOLAH (1997
\
            Walaupun selama ini SMJKSM memiliki tiga blok bangunan tiga tingkat, tetapi masih kekurangan sebuah padang sekolah yang sempurna. Padang sekolah yang sedia wujud sering menjadi becak dan berlumpur pada musim hujan. Sebaliknya, terdapat banyak habuk dan debu yang berterbangan pada musim kemarau. Lantaran itu, pada bulan Mei 1997, pihak Lembaga Pengelola sekolah telah membuat keputusan untuk melaksanakan projek penanaman semula rumput di kawasan padang sekolah.
             Demi menyahut seruan pihak kerajaan berhubung dengan Kempen “Sekolah Dalam Taman“ di samping mengindahkan dan menghijaukan kawasan sekolah, pihak sekolah telah merasmikan pelancaran projek penanaman pokok pada 27 Julai, 1997, iaitu sempena majlis sambutan Hari Guru di peringkat sekolah. Di bawah kepimpinan bapa Sin Min, Pengerusi Lembaga Pengelola, Yang DiPertua PIBG, semua ahil Lembaga Pengelola dan ahli jawatankuasa PIBG serta para guru dan staf sokongan sekolah telah menanam pokok di seluruh pelosok kawasan sekolah agar dapat diwujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif.

 BLOK C (2000)
            Disebabkan kantin lama tidak dapat menampung lagi bilangan murid yang begitu ramai, Lembaga Pengelola dan PIBG memutuskan untuk merobohkan Blok C dan membina sebuah bangunan baru 4 tingkat. Bangunan baru 4 tingkat Blok C mempunyai sebuah kafeteria moden di tingkat bawah, 2 buah makmal komputer dan sebuah dewan kuliah multimedia di tingkat 2 serta 10 buah bilik darjah di tingkat 3 dan 4. Seluruh bangunan baru dijaringkan dengan akses ke internet di setiap bilik termasuk kafeteria untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Upacara memecah tanah Blok C telah dilangsungkan pada 20 Julai 2000 dan bangunan tersebut memerlukan perbelanjaan melebihi RM600,000.00. Sekolah berhasrat menjadikan Bangunan Baru Blok C Bangunan Berteknologi Maklumat. Tingkat 3 Bangunan Baru Blok C mula digunakan oleh murid Tingkatan 6 Rendah Sains pada 11 Julai 2001.

 KELAS TEKNOLOGI MAKLUMAT (2000)
            Sesuai dengan wawasan sekolah untuk menjadikan sebuah Sekolah Berteknologi Maklumat, sekolah mula membuka 1 kelas Tingkatan 4 Teknologi Maklumat (SPM) pada tahun 2000. Kumpulan 40 orang murid ini telah menduduki peperiksaan SPM mata pelajaran Teknologi Maklumat pada hujung tahun 2001 dan mendapat kelulusan 100%.

 KELAS TINGKATAN ENAM (2001)
            Untuk memastikan murid memperoleh pendidikan lengkap di sekolah menengah, sekolah sejak lama sudah berhasrat membuka kelas Tingkatan 6. Hasrat ini menjadi kenyataan pada 15 Mei 2001 apabila 3 kelas Tingkatan 6 Rendah Sains berjaya dibuka. 3 Kelas Tingkatan 6 Rendah Sains tersebut terdiri daripada 1 kelas Biologi (seramai 44 orang murid) dan 2 kelas Fizik (seramai 39 orang pelajar setiap satu kelas).

 PERKEMBANGAN SEKOLAH (SEJAK 2002)
KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR (2002)
1.      Pada 19 Julai, 2002, kantin lama dipindah ke kafeteria baru di Blok C. Tempat yang luas di kafeteria baru Blok C menjadikan pembelian makanan dan minuman satu perkara yang selesa dan menyeronokkan. Murid tidak perlu lagi berdiri sambil makan kerana tempat duduk sudah mencukupi semasa waktu rehat.
2.      Dewan kuliah multimedia di Blok C mula digunakan pada akhir bulan Julai 2002. Dewan tersebut dilengkapi alat elektronik dan multimedia yang canggih seperti panel LCD yang diimport khas dari Amerika Syarikat sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Dewan kuliah multimedia yang boleh memuatkan 150 orang murid pada sesuatu masa telah menyelesaikan banyak masalah pengajaran dan pembelajaran.
3.      Kemasukan murid baru Tingkatan 6 Rendah Aliran Sains tahun 2002 memerlukan makmal sains, khasnya makmal Kimia, ditambahkan. Bilik komputer lama di Blok E dan sebuah bilik darjah bersebelahannya telah diubahsuai menjadi sebuah makmal Kimia. Bilangan makmal sains bertambah sebanyak 2 buah dengan pembinaan bangunan baru Blok D.
4.      Tapak letak kereta guru sesi pagi telah ditarkan pada 21 Januari 2002 manakala tapak antara Blok C dengan pintu belakang sekolah telah juga ditarkan pada 7 Februari 2002. Tiang-tiang elektrik telah dipasang sepanjang jalan pintu masuk hadapan sekolah pada 29 Mac 2002. "Spotlight" telah dipasang di tempat-tempat strategik untuk kemudahan dan keselamatan warga Sin Min. Tahun ini, di bawah usaha PIBG dan Lembaga Pengelola Sekolah, tapak letak kereta telah diperluaskan dua kali ganda untuk kegunaan murid, guru, dan pelawat.
5.      Pembinaan bumbung di gelanggang bola keranjang pada tahun 2002 membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang hari mulai 3 April 2002. Kos pembinaan dibiayai sepenuhnya oleh  Dato' Paduka Beh Heng Seong Penasihat Seumur Hidup Lembaga Pengelola.

 SMARTCARD SMJK SIN MIN (2002)
            Walaupun dengan adanya kafeteria baru di Blok C pada tahun 2002, murid mempunyai ruang yang lebih luas untuk menikmati makanan dan minuman, namum bilangan murid yang begitu ramai pada setiap waktu rehat menjadikan kaunter bayaran di kantin penuh sesat. Memandangkan setiap waktu rehat melibatkan masa hanya 20 minit sahaja, pihak sekolah mula memperkenalkan konsep penggunaan "SmartCard SMJK Sin Min" pada awal tahun 2002 sebagai penyelesaian kepada masalah kesuntukan masa selain daripada bertujuan mendidik warga Sin Min tentang penggunaan teknologi moden. "SmartCard SMJK Sin Min" mula digunakan di kafeteria secara percubaan berperingkat-peringkat bermula dengan murid Tingkatan 1 pada Oktober 2002 dan digunakan sepenuhnya untuk semua murid mulai Mac, 2003. Kini "SmartCard SMJK Sin Min" telah menjadi satu daya tarikan, keunikan, keistimewaan dan kehebatan SMJK Sin Min. Sebenarnya, seperti mana yang dilaporkan oleh semua surat khabar Bahasa Cina pada 14 Mac 2003, SMJK Sin Min merupakan sekolah pertama yang menggunakan SmartCard di negeri Kedah Darul Aman.
 "SmartCard SMJK Sin Min" antara lain.
a)         berfungsi sebagai tanda nama murid, lengkap dengan butir peribadi murid dan gambar foto murid,
b)         memudahkan dan mempercepatkan proses peminjaman, penempahan, dan pemulangan buku di Pusat Sumber Sekolah,
c)         memudahkan dan mempercepatkan proses pembelian alat tulis di kedai buku sekolah tanpa tunai,
d)         memudahkan dan mempercepatkan proses pembelian makanan dan minuman di kafeteria sekolah tanpa tunai; ibu bapa dapat memantau cara anak membelanjakan wang setiap hari dalam sekolah dan masalah disiplin yang melibatkan murid membawa wang ke sekolah dapat dikurangkan,
e)         memudahkan proses mencari maklumat peribadi murid seperti rekod disiplin murid, kehadiran, pencapaian murid, keputusan peperiksaan, penglibatan dalam kokurikulum, dan sebagainya,
f)         mendidik dan memahirkan warga Sin Min tentang teknologi moden,
g)         menjadi bukti identiti guru, staf sokongan SMJK Sin Min,
h)         merekodkan kehadiran guru dan staf sokongan pada setiap hari kerja,
i)          merekodkan kehadiran murid pada setiap hari persekolahan,
j)          mendapatkan pelbagai jenis diskaun di Hospital Pakar Metro, Informatics, dan kedai-kedai komputer di Sungai Petani serta hotel-hotel di Malaysia.
            Kini SMJK Sin Min menjadi tumpuan lawatan penandaarasan oleh pendidik-pendidik seluruh negara dan pensyarah-pensyarah Institut Aminuddin Baki tentang penggunaan ICT (SmartCard) dalam  sekolah.
            Sistem SmartCard SMJK Sin Min telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia apabila sekolah menerima sepucuk surat bertarikh 8 November 2003 daripada Yang berhormat Tan Sri Dato’ Seri Musa bin Mohamad, Menteri Pelajaran, mengucapkan tahniah di atas daya usaha sekolah untuk menggunakan teknologi terkini dalam menguruskan hal ehwal sekolah. "Kreativiti dan daya usaha yang ditunjukkan ini sewajarnya menjadi contoh kepada lain-lain sekolah", kata Yang Berhormat Tan Sri Dato' Seri Musa bin Mohamad dalam surat tersebut. Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman juga mengiktirafkan Sistem SmartCard SMJK Sin Min. Pada 21 Mei 2006 sempena Perayaan Hari Guru peringkat negeri, sekolah menerima Anugerah Guru Inovatif Kumpulan - Projek Mega Komputer Sekolah - SmartCard SMJK Sin Min.
            Untuk membolehkan Sistem SmartCard beroperasi dengan lebih efisien, 12 unit komputer PC telah diperoleh pada penghujung tahun 2007 untuk menggantikan PC pelbagai jenama yang telah digunakan dari permulaan projek ini iaitu semenjak tahun 2002. Usaha berperingkat-peringkat juga dilakukan untuk menggantikan SmartCard yang menggunakan 'barcode' kepada penggunaan 'microchip' untuk mempercepat proses 'scanning'.

 BLOK G (2004)
Penambahan mata pelajaran seperti EST (English for Science and Technology) dan penambahan bilangan mata pelajaran yang diambil oleh murid dalam peperiksaan awam menjadikan kekurangan bilik darjah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran satu masalah yang perlu diselesaikan segera. Satu blok mengandungi 4 bilik sukan dan SPBT telah mula dibina berdekatan dengan bilik pengakap pada Julai 2004 dan siap pada bulan September 2004.  Bilik-bilik ERT dan bilik Bimbingan dan Kaunseling di Blok D dipindahkan ke Blok F pada bulan Oktober 2004.  Blok D satu tingkat dirobohkan pada Disember 2005 dan di tapak yang sama dibina satu bangunan gantian 4 tingkat lengkap dengan 12 buah bilik darjah, 8 buah bilik air, 2 buah makmal sains, dan sebuah bilik persediaan. Pada 1.1.2007, blok D mula digunakan oleh murid - murid Tingkatan 1. Mulai 1.1.2008, blok D digunakan oleh murid Tingkatan 3. Semua kelas Tingkatan 3 dijalankan di sebelah pagi.

            BLOK D (2005)
            Blok D satu tingkat dirobohkan pada Disember 2005 dan di tapak yang sama dibina satu bangunan gantian empat tingkat dengan 12 buah bilik darjah, 8 buah bilik air, 2 buah makmal sains, dan sebuah bilik persediaan.

 TAHUN 2006
1.      15 Mei 2006. Pada Malam Titian Gemilang sempena Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan di PWTC, Pengetua menerima Anugerah Sekolah Harapan Negara Kategori Sekolah Menengah (Bandar) daripada Yang Berhormat Dato' Sri Hishammuddin b. Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Usaha gigih semua pihak akhirnya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Pada 23 November 2007, Pengetua SMJK Sin Min sekali lagi diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Sekolah Cemerlang, Kategori Sekolah Menengah Harian (Bandar) daripada Yang Berhormat Menteri Pelajaran.
2.      Pengetua Kanan, En. Tee Pak Leong, BKM . bersara pada 16.12.2006.

 TAHUN 2007
1.      Pada 01.01.2007, blok D mula digunakan oleh murid-murid Tingkatan 1.
2.      Pada tahun ini juga, “Dataran Wawasan“ telah dibina di antara blok E, blok D, dan gelanggang bola keranjang. Pembinaan dataran ini adalah sejajar dengan usaha berteraskan sekolah dalam usaha menanam minat warga SMJK Sin Min dalam bidang sains dan teknologi. Satu “Time Capsule“ berhubung ramalan tentang kemajuan sains, teknologi, dan cara hidup masyarakat pada tahun 2020 telah ditanam di dataran ini dan akan dibuka pada tahun 2020. Pembinaan dataran ini semestinya telah menambahkan keceriaan sekolah juga.
3.      Pengetua En. Lok Kin Hong bersara pada 23.09.2007.
4.      Pada 23 November 2007, Pengetua SMJK Sin Min sekali lagi diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Sekolah Cemerlang, Kategori Sekolah Menengah Harian (Bandar) daripada Yang Berhormat Menteri Pelajaran.

 TAHUN 2008
1.      Mulai 01.01.2008, blok D digunakan oleh murid Tingkatan 3. Semua kelas Tingkatan 3 dijalankan di sebelah pagi.
2.      SMJK Sin Min telah memperoleh imbuhan dalam bentuk peruntukan kewangan hasil dari kemenangan dalam Pertandingan Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Harian (Bandar) Kementerian Pelajaran Malaysia 2007. Antaranya imbuhan sejumlah RM 108,500.00 adalah untuk tujuan penyelenggaraan bangunan dan penyelenggaraan kecil. Beberapa projek penyelenggaraan telah dilakukan hasil daripada peruntukan tanbahan tersebut pada penghujung tahun 2007 dan tahun 2008. Projek-projek itu termasuk:
·         Menaiktaraf lantai 10 buah bilik darjah blok A (lantai simen diganti dengan lantai jubin).
·         Menaiktaraf bilik persediaan kantin Melayu dengan menyediakan ruang masak dan ruang cuci yang lebih luas.
·         Mengecat semula bilik guru dan pusat sumber sekolah.
·         Memasang pintu cermin untuk pusat sumber sekolah.
·         Memasang bumbung laluan di tepi blok E (bersebelahan kafeteria).
·         Memasang papan tanda laluan/bilik di seluruh kawasan sekolah.
·         Mengubahsuai bilik E2 sebagai bilik guru ke-2 untuk menampung bilangan guru yang bertambah.

 TAHUN 2009 – TAHUN 2010
1.      Pada tahun 2009, SMJK Sin Min terus maju dan sekali lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Anugerah ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi dan sejajar dengan teras keenam dalam Pelan Induk Pembanguna Pendidikan (PIPP), iaitu Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidkan.
2.      Pencapaian-pencapaian ini ialah buah hasil daripada komitmen tinggi guru-guru, staf sokongan, dan murid-murid sekolah ini serta sokongan daripda Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG, dan masyarakat setempat.
3.      Pada tahun 2009 hingga tahun 2010, terdapat beberapa penaiktarafan infrastruktur sekolah yang dibiayai oleh PIBG atau peruntukan Tabung Pembangunan Sekolah:

a. Sebuah pondok pengawal keselamatan yang disiapkan dengan kemudahan tandas telah dibina di depan pintu utama.

b. Pejabat sekolah telah diperluas dengan tambahan sebuah lagi pejabat bagi pembantu tadbir tertinggi dan sebuah bilik cetak.
c. Tempat letak kereta telah diperluas untuk kegunaan guru, murid, dan pelawat. Satu lorong lencongan telah dibuka di tepi kuarter pegawai kerajaan. Projek ini telah banyak menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di depan sekolah.
d. Ruang di depan Pintu B telah dipasang bumbung. Aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan boleh dijalankan di sebelah pagi sedangkan pada tengah hari, ruang yang berbumbung itu digunakan sebagai tempat menunggu bagi murid-murid sesi petang.
e. Siberkafe Sin Min telah dibina di Foyer Informasi. Lima buah komputer telah dipasang untuk memudahkan murid-murid melayari internet untuk mencari bahan-bahan dan maklumat yang berfaedah.
f. Dua kubikel telah dibina di dalam Bilik PPSMI untuk kegunaan Penolong Kanan Tingkatan 6 dan Ketua guru Disiplin.
g. Sebuah pelayan komputer baru berjenama Dell telah bibeli untuk menggantikan pelayan komputer yang telah uzur.
h. Semua meja panjang di kafeteria telah diganti dengan meja yang berkaki besi dengan permukaan meja dibalut dengan kepinghan keluli (stainless steel).
i. Sebidang tanah seluas 8200 kaki persegi bersambungan dengan premis sekolah dirancang akan dibeli Lembaga Pengelola Sekolah. Sebuah bangunan banyak tingkat dengan kemudahan dewan serbaguna adalah dicadangkan untuk perkembangan masa hadapan.
4.      Dalam Pertandingan Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia 2009, SMJK Sin Min telah dihadiahkan dengan imbuhan dalam bentuk wang sebanyak RM 500 000.00. kebanyakan imbuhan itu telah digunakan untuk mengendalikan aktiviti yang berkaitan dengan bidang kebitaraan Sekolah Kluster Kecemerlangan yang bermanfaat kepada murid. Baki daripada imbuhan itu telah digunakan untuk tujuan penyelenggaraan bangunan. Aktiviti dan projek yang telah dijalankan adalah seperti berikut:
a.       Kem Latihan Koir Sekolah.b.      Kem Latihan Tarian untuk Persembahan Malam Budaya.
c.       Pertandingan Kaligrafi Bahasa Cina.
d.      Kursus Mencungkil Bakat Artis Muda.
e.       Kem Mencungkil Artis Muda ke Kuala Lumpur.
f.       Kem Peningkatan Prestasi Matematik ke Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.
g.       Kem Latihan Kuiz Matematik Olympiad.
h.      Kem Penggunaan Geometer Sketch Pad.
i.        Pembelian Alatan Orkestra Cina.
j.        Pembelian Alatan Muzik Koir Sekolah.k.      Pembelian Pakaian Kostum Tarian Tradisional.
l.        Penaiktarafan Bilik Pendidikan Seni Visual.
m.    Pengubahsuaian bilik stor sukan kepada bilik studio untuk latihan tarian.
n.      Pengubahsuaian Bilik E1 kepada Bilik Sumber Matematik yang dilengkapi dengan 20 buah komputer.
5.      Pengetua En. Png Gaik Meng bersara pada 10 Oktober 2010.

 TAHUN 2011
1.      Terdapat beberapa penaiktarafan infrasturuktur sekolah.
a.       Kafeteria sekolah dipasang siling baru.
b.      3 buah televisyen LCD 55 inci telah dibeli dan dipasang di Bilik Matematik, Bilik Wawasan, dan Bilik 52.
c.       Untuk mengurangkan kepanasan, semua tingkap di tingkat 3 Blok C dan di tingkat 2 Blok D dicat warna biru.
d.      Sekolah menambahkan 2 buah kipas dinding di setiap bilik darjah di Blok B.
e.       Menerima hadiah sebuah laptop daripada dermawan untuk kegunaan proses pengajaran dan pembelajaran.
2.      Jaringan
a.       Jaringan Asian-Europe Classrooms Projecs (IAEC) 2010-2011 di India pada 12 Nov 2011 – 16 Nov 2011.
b.      Jaringan Persahabatan antara SMJK Sin Min dengan Qing Yuan No. 1 Middle School di Guangdong, China.
-          Sekolah melawat ke Qing Yuan No. 1 Middle School pada 1 – 7 Jun 2011.
-          Lawatan Qing Yuan No. 1 Middle School ke sekolah pada 10 – 16 Ogos 2011.
3.      Konsert Amal (Pertandingan Nyanyian Lagu Klasik Cina Peringkat Akhir Zon Utara)
a.       Penaja utama ialah EPIC VALLEY HOLDINGS SDN. BHD. , Dato‘ Dr. Fng Ah Seng DSDK., dianjur bersama Lembaga Pengelola dan PIBG SMJK Sin Min.
b.      Diadakan pada 3 September 2011.
c.       Tujuannya adalah untuk mengumpul dana (sasaran RM 8 000 000.00) untuk membiayai kos pembelian tanah dan pembangunan sekolah.
4.      Bilangan guru:133 orang
Bilangan murid: 2165orang
Bilangan staf sokongan:14 orang

 REKOD KECEMERLANGAN SEKOLAH
TAHUN 2009
1.      Sijil Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
2.      Penyertaan Koir Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2009.
3.      Hadiah Saguhati Pertandingan Kepenggunaan dianjur oleh Federation of Malaysian Consumers Association (FOMCA), Mengarang Esei Bahasa Cina – dimenangi oleh Lim Jze Yee.
4.      Sijil Penghargaan atas kejayaan mencapai peratus pencapaian melebihi 95% dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
5.      Sijil Penghargaan atas kejayaan mencapai 100% dalam Sijl Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).
6.      Naib Johan – Pertandingan Pidato Piala Diraja anjuran Kolej PTPL Sungai Petani.
7.      Sijil Penghargaan atas sumbangan dan penyertaan dalam Larian Kemanusiaan Palestine.
8.      Lynton Edviano Loo dan Ong Yi Chao mewakili Malaysia ke Pertandingan Asia Pacific Mathematics Olympic 2009.
9.      Dua Distinctions dan sebelas Credits dalam International Competitions and Assessments for School (ICAS) 2009 anjuran University of New South Wales (Science Achievement).

 TAHUN 2010
1.      Pencapaian 100% dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Muda/Yan 2010.
2.      Anugerah Khas dalam Pencapaian Akademik SMJK Sin Min 2009 2009 sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Muda/Yan 2010.
3.      Sijil Penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah – pencapaian 100% dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan  Malaysia (STPM) 2009.
4.      Sijil Penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah – mencapai peratusan kelulusan melebihi 95 % dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.
5.      Sijil Penghargaan dalam Pertandingan Kendiri Pengurusan Kantin Peringkat Daerah Kuala Muda anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda – Naib Johan.
6.      Certificate of Participation in the Semi Final Round of 2010 National Science Challenge – Piala Perdana Menteri.

 TAHUN 2011
1.      Sijil Penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah – kejayaan mencapai Gred Purata Kategori di bawah 2.0 (1.69) ‘A’ semua mata pelajaran kategori melebihi 20% (22.49) dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.
2.      Sijil Penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah – pencapaian Gred Purata Sekolah di bawah 4.00 (3.064) dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
3.      Sijil Penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah – kejayaan memperoleh Lulus Penuh 100% Gred Purata melebihi 3.00 dalam Peperiksaan sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.
4.      Johan Pertandingan Kios Terbaik Karnival Sekolah Kluster Kecemerlangan Peringkat Zon Utara.

 HARAPAN /WAWASAN SEKOLAH
SEKOLAH  BERTEKNOLOGI  MAKLUMAT
            Demi mempertingkatkan mutu pendidikan negara dan membolehkan murid menerima pendidikan dengan lebih berkesan, Rancangan Pengkomputeran Sekolah telah dimulakan sejak tahun 1987. Pengkomputeran Sekolah dijalankan dalam 3 peringkat dan dijangka sekolah akan menjadi sebuah Sekolah Berteknologi Maklumat dengan menggunakan komputer sepenuhnya dalam semua urusan pentadbiran, pengajaran, dan pembelajaran tidak lama lagi.

 PERINGKAT PERTAMA
1.      Pengkomputeran pengurusan sekolah.

Pusat Komputer Sekolah telah dilengkapi dengan 6 buah komputer (pentium) dan sebuah pelayan serta beberapa buah mesin pencetak. Pengurusan kehadiran guru dan staf sokongan, pengurusan keputusan peperiksaan, data-data murid, SPBT, sistem pengawas, sistem pemarkahan bahagian disiplin, dan lain-lain telah dikomputerkan.

2.      Pengkomputeran Pusat Sumber Sekolah (PSS).

Mulai tahun 1998, PSS mempunyai 3 buah komputer (pentium) dan akses ke internet. Murid-murid dan guru-guru dapat menikmati kecanggihan internet dalam memperoleh maklumat dengan cepat.

3.      Hompej Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min adalah seperti berikut: http://kdsinmin.smjk.edu.my

 PERINGKAT KEDUA

            Bilik komputer yang sedia ada telah dilengkapi dengan 20 buah komputer baru (pentium) pada tahun 1999. 15 buah bilik penting dalam sekolah telah dijaringkan dalam satu jaringan dengan Pusat Komputer Sekolah pada bulan Julai, 2000. Bilik-bilik tersebut termasuk Bilik Pengetua, Bilik Penolong Kanan, Bilik Penolong Kanan (HEM), Bilik Penyelia Petang, Bilik Guru Kanan Mata Pelajaran, Bilik Pejabat, Bilik Unit Teknologi Pendidikan, Bilik Mesyuarat, Bilik Bahasa, Bilik Matematik, Bilik ERT, Bilik Kaunseling, Bilik Wawasan, Makmal Fizik, dan Pusat Sumber Sekolah. Sekolah berhasrat menjaringkan semua bilik darjah termasuk kafeteria  supaya mempunyai akses ke internet untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
            Satu kelas Teknologi Maklumat (SPM) Tingkatan 4 telah dimulakan pada tahun 2000.

 PERINGKAT KETIGA
            2 buah makmal komputer baru di Blok C telah diwujudkan. Semua komputer dalam kedua-dua makmal komputer telah dijaringkan dan makmal-makmal tersebut digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Teknologi Maklumat sejak Ogos 2001. Usaha menambahkan bilangan komputer dalam kedua-dua makmal komputer dan Pusat Komputer Pentadbiran serta semua bilik-bilik penting yang lain diteruskan. Pembinaan Dewan Kuliah Multimedia dan penggunaan sepenuhnya. "SmartCard SMJK Sin Min" pada bulan Mac tahun 2003 adalah satu lagi langkah ke arah menjadikan sekolah sebuah sekolah berteknologi maklumat. Sekolah kini mempunyai akses ke internet melalui Streamyx dan School Net dan berhasrat menjaringkan semua tempat termasuk. setiap bilik darjah dalam sekolah sebagai satu Jaringan Kampus. Sekolah kini sedang dalam proses melaksanakan SMS - “School Management System”,satu system pengurusan sekolah berkomputer yang akan menghubungkaitkan semua aspek pengurusan sekolah untuk memudahkan murid, guru dan ibu bapa mendapatkan pelbagai maklumat sekolah dan maklumat murid sama ada dalam kawasan sekolah mahupun dari luar kawasan sekolah melalui internet.

 PERINGKAT KEEMPAT
            Dari segi pengkomputeran, pihak sekolah telah menggunakan SmartCard dengan mikrocip yang lebih canggih dan efesien berbanding dengan 'barcode' yang digunakan sebelum ini. Hala tuju sekolah kini adalah ke arah pembangunan internet. Suatu hari nanti, ibu bapa dapat melayari internet untuk mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak.
            Pada tahun 2008, sebanyak 25 unit komputer peribadi (PC) telah dibeli untuk menggantikan PC yang telah 'ketinggalan zaman' di makmal komputer. Pembelian PC baru ini akan membolehkan kelas ICT SPM untuk Tingkatan 4 dan 5 dijalankan dengan baik di samping kelas ICTL untuk Tingkatan 1 juga dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
            Pada tahun 2009, sekolah telah menerima sumbangan 42 buah komputer, 2 buah printer, dan 2 buah projector LCD daripada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tujuan menaiktarafkan teknologi pengkomputeran sekolah.

 VISI SEKOLAH
Menjadikan SMJK Sin Min sebuah sekolah berprestasi tinggi dan bertaraf  dunia menjelang tahun 2016.